Suspek mempelawa menaiki motosikal sebelum merogol mangsa.
Seorang penjual burger dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini tadi, selepas didapati bersalah merogol seorang gadis bawah umur pada Januari tahun lalu.
Hakim Muhamad Jamil Husin mengenakan hukuman itu ke atas Hairul Lisan Husin, 28, selepas pihak pembelaan diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman, Azni Sidek, gagal menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah.
Hairul Lisan didakwa merogol seorang gadis berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Melayu Pandan di sini, pada jam 3.15 pagi, 10 Januari lalu.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang membuka gerai burger di hadapan rumah mangsa, mengajak gadis terbabit keluar dengan menaiki motosikal bertujuan untuk berkenalan.
Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah rumah dan dirogol sebelum ditinggalkan berseorangan di sebuah kedai karaoke di Kampung Melayu Pandan di sini.
Mangsa yang trauma kemudian menghubungi rakan dan ibunya sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukannya amat serius selain sebagai pengajaran kepada masyarakat.-BERITA HARIAN
Post a Comment