DUGAAN SYAMSUL, PUTERI SARAH

Posted by Sosej Roll Blog




TINGGAL enam hari lagi pengarah terkenal, Syamsul Yusof akan disatukan dengan buah hatinya, Puteri Sarah Liyana. Majlis pernikahan mereka akan berlangsung 8 Mac ini, diikuti majlis resepsi pengantin perempuan pada sebelah malam.



Tentu detik itu dinantikan wakil media kerana sudah lama Syamsul ‘hilang’. Sejak meletusnya kes filem KL Gangster 2 bocor sebelum ditayangkan kepada umum, kelibat Syamsul tidak nampak bayang. Malah, ketika majlis pra-tonton filem itu, Syamsul sebagai pengarahnya tidak hadir.



Kemudian tersebar gambarnya mendalami agama di laman sosial Facebook. Apabila berita pertunangannya dengan Puteri Sarah dihidu media, Syamsul juga tidak dapat dihubungi untuk mengulas lanjut, apatah lagi berkongsi detik bahagia mereka berdua.



Mujur ayah dan ibunya, Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ismail sedia memberi kerjasama dan memahami tugas media ingin mendapatkan berita daripada mereka.






SHAMSUL bersama adik, serta ibu bapanya.Produser dan pengarah terkenal itu juga sedia berkongsi impian perkahwinan mereka untuk Syamsul. Malah, Yusof gembira kerana bakal menyambut dua menantu apabila anak bongsunya, Syafiq juga akan berkahwin tahun ini selepas bertunang tahun lalu.



Yusof dan isteri berbincang mahu melihat Syamsul dan Syafiq bersanding bersama di pelamin. Ia lebih menjimatkan masa kerana merancang majlis perkahwinan bukan kerja mudah, sebaliknya perlu perancangan teliti berbulan-bulan.



Semoga Syamsul dan Puteri Sarah bahagia melayari rumah tangga mereka selepas melalui banyak dugaan dan halangan sebelum disatukan.



Jika pasangan pengantin lain berdebar dan tidak sabar-sabar menantikan detik dinikahkan, pasangan ini pula diuji dengan hebat sekali.



Ujian Allah tiada siapa dapat menduga dan kita sebagai hamba-Nya hanya mampu berdoa semoga segala-galanya dipermudahkan. Diharap Syamsul dan Puteri Sarah juga memberi kerjasama kepada media pada hari bersejarah mereka nanti.



Untuk majlis pernikahan yang diadakan di masjid di Kota Damansara, pasangan ini memilih konsep taman Islamik dengan sentuhan Arab (Maghribi).



Begitu juga resepsi pihak perempuan, mereka memilih warna hitam dan emas.

Resepsi sebelah lelaki pula akan diadakan pada 18 April depan dan bakal menjadikan impian Yusof dan Fatimah untuk melihat anak sulung dan anak bongsu mereka disandingkan bersama. Ia khusus untuk jemputan khas dalam kalangan industri seni.



Manakala pada 20 April akan diadakan satu lagi majlis di rumah keluarga pengantin lelaki di Taman Melawati, Ulu Klang dan kali ini khusus untuk keluarga pula.



Segala persiapan pula dilakukan adik perempuan Syamsul bersama ibunya. Sudah tentu ia sentuhan istimewa daripada dua wanita penting dalam hidup Syamsul dan Syafiq.-HM

Related Post



Post a Comment