GAMBAR NGERI! PENOREH GETAH PARAH DISERANG BERUANG

Posted by Sosej Roll Blog


Kuala Terengganu: “Biarlah pokok getah itu kering sekalipun, saya tidak akan menoreh selagi beruang itu tidak ditangkap,” kata Mamat Othman, 63, suami kepada Asmani Yahya, 60, yang parah selepas isterinya itu diserang beruang di Kampung Pasir Puteh, Marang, kelmarin.

Ketika ditemui di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam, Mamat berkata, dia bersyukur kerana pendarahan berterusan di leher dan kepala isterinya akibat serang beruang itu berjaya dihentikan doktor dengan mengenakan lebih 30 jahitan pada bahagian terkoyak itu. 

“Pernah sekali alat penyembur racun saya hancur dan terdapat beberapa kesan cakar dan taring ketika saya dan isteri baru menanam anak pokok getah di ladang ini sembilan tahun lalu.

“Waktu itu saya tidak tahu haiwan apa yang menyebabkan alat penyembur racun saya musnah sebegitu rupa.

Akhirnya persoalan yang bermain di fikiran sejak sembilan tahun itu terjawab selepas beruang itu menyerang isteri.

“Bayangkan jika saya tiada ketika kejadian itu, tidak tahulah apa nasib isteri, mungkin dijadikan makanan haiwan buas itu,” katanya yang menerima kunjungan daripada pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, di sini, semalam.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan Asmani diterkam seekor beruang dari belakang sebelum digonggong haiwan itu di bahagian kepala dan leher.

Bagaimanapun saat nyawanya di hujung tanduk suaminya yang kebetulan berada tidak jauh dari situ bergegas menyelamatkannya dengan menggunakan sabit dan sebatang kayu.

Beruang yang agresif dan cuba mengheret Asmani itu segera melepaskan gonggongannya sebelum beredar ke dalam hutan berhampiran manakala Asmani yang parah di bahagian leher dan kepala dibawa ke HSNZ dengan bantuan penduduk.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN, Yusoff Syariff berkata pihaknya sudah berjumpa dengan mangsa di HSNZ dan beberapa anggota lain sudah memasang perangkap beruang di kawasan ladang getah berkenaan.

“Kes serangan beruang amat jarang berlaku dan kami masih mengkaji punca haiwan itu menyerang Asmani di ladang getah itu.


Saya yakin beruang itu bersendirian dan masih merayau-rayau di kawasan hutan di kampung berkenaan.

“Beberapa anggota kami sudah memantau kawasan hutan itu dan jika tiada halangan, haiwan itu akan masuk perangkap dalam masa terdekat,” katanya.

Related Post



Post a Comment