BEBERAPA ketika sebelum sidang media berkenaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hari ini di Hotel Sama-Sama, Sepang beberapa orang keluarga penumpang warga China menyerbu lokasi sidang media untuk menuntut lebih penjelasan.
Menurut laporan Astro Awani menerusi laman webnya, enam ahli keluarga itu tiba-tiba meluru masuk pada kira-kira pukul 4.30 petang sambil membawa kain rentang yang tertulis ” Kami membantah kerajaaan Malaysia lambat menyelamatkan penumpang dan mendesak bawa ahli keluarga pulang tanpa sebarang syarat”.
Terdapat sesetengah dari mereka melaung meminta agar ahli keluarga mereka dikembalikan sebelum mereka dibawa keluar pihak keselamatan dari bilik sidang media.
Pihak keselamatan kemudian menempatkan mereka di dalam bilik sekretariat buat sementara waktu.
Hari ini sudah masuk hari ke-12 pesawat MH370 hilang dari radar selepas terputus hubungan pada hari Sabtu 8 Mac lepas.
Pesawat berkenaan dilihat daripada data radar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dikesan berpatah balik ketika berada di titik laluan Igari di Laut China Selatan dalam penerbangannya yang sepatutnya menuju ke Beijing, China.
MH370 juga disahkan telah terbang merentasi Semenanjung Malaysia dan kemudiannya berada di Selat Melaka sebelum terputus hubungan dengan radar TUDM.
Sejak hilang pada 8 Mac, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan dan kini ia diperluaskan ke kawasan dua koridor yang dikenalpasti iaitu di Koridor Utara dan Selatan dari sekitar Kazakhstan sehingga ke Pulau Krismas berhampiran negara benua Australia. – MYNEWSHUB.MY
Post a Comment