MH370: Selain Manggis, Kargo MH370 Juga Bawa Bateri Lithium-Ion, Kata CEO MAS

Posted by Sosej Roll Blog


Perhatian sekali lagi tertumpu kepada kargo yang dibawa oleh pesawat MH370 yang hilang selepas pihak berkuasa hari ini mengesahkan ia membawa bateri lithium-ion yang boleh mudah terbakar.
Pengesahan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya itu dibuat hari ini, empat hari selepas beliau menafikan MH370 membawa barangan berbahaya dan sebaliknya menekankan mengenai “tiga hingga empat tan buah manggis” dalam pesawat itu.
“Kami bawa beberapa bateri kecil lithium-ion, ia bukan bateri yang besar dan ia pada dasarnya diluluskan di bawah ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) di bawah barangan berbahaya,” katanya.
Menurutnya, bateri lithium-ion pada asasnya bukan barangan berbahaya tetapi dari segi ianya diisytiharkan sebagai bahan berbahaya di bawah ICAO.
Ahad Jauhari berkata demikian dalam taklimat harian di Hotel Sama-Sama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Jauhari bertegas kargo bateri lithium-ion itu telah diperiksa “beberapa kali” bagi memastikan ia dibungkus mengikut garis panduan ICAO.
Syarikat penerbangan, katanya melakukannya sepanjang masa, dan bukan Malaysia Airlines sahaja.
“Barangan ini diterbangkan oleh banyak syarikat penerbangan kargo, yang berdasarkan kepada peraturan ICAO,” katanya.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) yang berpangkalan di AS, sejumlah 141 insiden udara melibatkan bateri yang dibawa sebagai kargo atau bagasi dicatatkan antara 20 Mac 1991 hingga 17 Feb tahun ini.
Dalam kes-kes yang jarang berlaku, seluruh pesawat telah musnah akibat kebakaran yang bermula dari bateri lithium-ion dengan kes yang terbaru ialah Asiana Airlines Penerbangan 991 dan UPS Airlines Penerbangan 6, walaupun kedua-dua insiden itu membabit pesawat kargo.

Related Post



Post a Comment