Pelakon Wanita Disaman Cuba Melakukan Penipuan

Posted by Sosej Roll Blog

Kuala Lumpur: Pelakon Zarina Anjoulie dan lima lagi disaman anak lelaki seorang ahli perniagaan kerana didakwa berkomplot melakukan penipuan ke atas nombor pendaftaran sebuah kereta mewah milik bapanya. Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada November tahun lalu, Kevin Shah Kadar Shah memfailkan saman itu selaku pentadbir harta pusaka bapanya, Kadar Shah Sulaiman, seorang ahli perniagaan. Kevin Shah menamakan Pengarah Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Kementerian Pengangkutan, Kerajaan Malaysia, Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul, Salleh Idris dan Public Islamic Bank Berhad selaku defendan pertama hingga keenam. Dalam pernyataan tuntutannya, Kevin Shah berkata, pada sekitar Mei 2010, bapanya membeli kereta terpakai BMW dengan nombor pendaftaran WTN 8850 didaftarkan atas nama si mati pada 17 Mei 2010 dan dipinjamkan kepada Zarina Anjoulie bagi jangka masa tertentu. Plaintif berkata, bapanya pada setiap masa membayar ansuran bulanan kereta itu, bagaimanapun beliau meninggal dunia pada 19 November 2011 dan pada masa kematiannya Zarina tidak pernah berusaha memulangkan kereta berkenaan. Beliau berkata, sebelum sempat berbincang untuk mendapatkan kembali kereta itu, didapati Public Islamic Bank Berhad menarik balik kereta berkenaan kerana ada beberapa bulan ansuran yang tidak dibayar. Katanya, ketika mendapatkan kembali milikan kereta itu daripada bank selepas membayar tunggakan ansuran, didapati kereta itu mempunyai nombor pendaftaran BLP 8858 manakala carian di kementerian menunjukkan nombor plat WTN 8850 didaftarkan ke atas sebuah motosikal Honda yang juga dimiliki si mati. Kevin Shah berkata, defendan keempat, kelima dan keenam berkomplot menipu ke atas si mati dan hartanya dengan menukar nombor pendaftaran kedua-dua kenderaan itu bertujuan melesapkan kereta terbabit daripada milikan si mati.

Related Post



Post a Comment