Tompokan minyak: Belum tentu milik MH370

Posted by Sosej Roll Blog

mas

KUALA LUMPUR - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini berkata laporan media tentang dua tompokan minyak yang ditemui dalam operasi mencari yang dilakukan oleh pihak berkuasa Vietnam, masih belum disahkan.


Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata pihaknya telah menghubungi pihak berkuasa di Vietnam untuk mengesahkan laporan Akhbar Tuoi Tre itu tetapi tidak lagi menerima sebarang jawapan.

Akhbar itu melaporkan bahawa tompokan minyak itu masing-masing sepanjang 20 kilometer pada jarak 500 meter antara satu sama lain itu ditemui juruterbang pesawat tentera Vietnam yang menyertai misi pencarian tersebut.

Tompokan minyak itu dilaporkan ditemui 140 kilometer ke selatan Pulau Tho Chu di pesisir selatan Vietnam.

Selain tompokan minyak, pasukan pencari Vietnam juga dilaporkan mengesan kepulan asap di permukaan laut berhampiran tempat tompokan minyak ditemui di koordinat 7.25 utara, 103.2320 timur.

Azharuddin turut berkata pihaknya juga telah meneliti rakaman CCTV berkaitan penumpang pesawat terbabit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu ada kaitan dengan keganasan.

"Kami tidak menolak semua kemungkinan," kata Ahmad Jauhari apabila ditanya wartawan samada kejadian itu ada kena mengena dengan keganasan.

Pencarian pesawat MH370 akan diteruskan sepanjang malam ini dan pencarian akan diperluas meliputi semua kawasan perairan di Malaysia termasuk laut China Selatan dan Selat Melaka mengikut prosedur operasi standard DCA dan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Penerbangan MH370 ke Beijing itu membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi Sabtu.

Pesawat itu berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.

Ia dilaporkan hilang selepas gagal dikesan pada radar pusat kawalan trafik udara Vietnam yang kemudian melaporkannya kepada pusat kawalan trafik di Subang.

Related Post



Post a Comment