MH370: Luahan Ibu Penumpang yang Guna Pasport Palsu

Posted by Sosej Roll Blog


Ibu kepada penumpang penerbangan MH370 yang menggunakan pasport palsu tidak dimaklumkan mengenai kehilangan pesawat misteri tersebut dan disisihkan, lapor media antarabangsa CNN.
Ibu kepada Pouria Nourmohammadi, 18, salah seorang penumpang yang menggunakan pasport palsu menaiki ketika mendaftar masuk menaiki MH370 kini ketinggalan dan tidak menerima sebarang maklumat atau diberikan kaunseling seperti ahli keluarga penumpang lain.
“Sebagai seorang manusia, sebagai ibu, tiada sesiapa memikirkan tentang saya. Saya keseorangan tanpa sokongan kecuali Tuhan,” katanya dipetik dalam laporan CNN.
Nourmohammadi bersama rakannya Delavar Seyed Mohammad Reza, 29, menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dalam perjalanan menuju ke Beijing yang tiba-tiba hilang secara misteri pada awal pagi 8 Mac.
Ibu Nourmohammadi mengakui anaknya melanggar undang-undang, bagaimanapun menyifatkan anaknya hanya cuba menjelajahi “mimpi indah”.
“Saya dedikasikan hidup untuk anak saya, apa yang saya mahukan ialah dia hidup gembira. Saya mahu mereka hidup bebas. Saya berdoa dapat jumpa dia lagi, tetapi itu tidak berlaku. Kami akan jumpa di dunia lain sekarang,” katanya.
CNN melaporkan, MAS tidak menghubungi kedua-dua ahli keluarga penumpang berkenaan dan kes mereka masih dikendalikan oleh pegawai penyiasat.
Nourmohammadi dan rakannya menimbulkan kekeliruan semasa siasatan awal kehilangan MH370 apabila mereka menggunakan pasport yang dicuri untuk menaiki pesawat MH370.
Pasport berkenaan dimiliki oleh rakyat Austria, Christian Kozel, 30, dan Itali, Luigi Maraldi, 37, yang melaporkan pasport mereka dicuri ketika berada di Thailand.
Berita berkenaan pasport curi digunakan dua penumpang membawa spekulasi pengganas dan sabotaj namun pihak berkuasa menolak kemungkinan kedua-dua mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.
Setiausaha Agung Interpol dilaporkan berkata, kedua-duanya berkemungkinan bukan pengganas manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata penumpang berkenaan mencari suaka perlindungan apabila polis menghubungi ibunya di Frankfurt.
Turut dilaporkan, pemuda Iran itu mula meninggalkan negara mereka bagi mencari kedudukan ekonomi dan kebebasan yang lebih baik.
Nasib Nourmohammadi dan Seyed Hamid, sama seperti 237 penumpang MH370, masih lagi menjadi misteri apabila pesawat itu masih hilang ketika operasi mencari yang kini dijalankan di Lautan Hindi sudah masuk minggu keempat.
Pasukan mencari dan menyelamat diteruskan di selatan Lautan Hindi tidak jauh dari Perth, Australia.
Pesawat Boeing 700-200ER itu hilang daripada imbasan radar awam tanpa menghantar sebarang mesej kecemasan.

Related Post



Post a Comment