Pesakit Dipindah Keluar Hospital Gara-Gara Bau Durian Yang Disangka Gas Bocor!

Posted by Sosej Roll Blog


MELBOURNE – Bau durian menyebabkan para pesakit dipindahkan keluar dari sebuah hospital di sini.
Pasukan bomba di panggil ke Hospital swasta Mitcham di Doncaster East Road, Mitcham, kira-kira pukul 10 malam Isnin kerana bimbang berlaku kebocoran gas di sebuah daripada wad orang tua hospital itu.
Bagaimanapun Bomba Metropolitan (MFB) kemudian diberitahu bau pelik itu ialah daripada sebiji durian yang dipercayai dibawa sebagai buah tangan untuk seorang pesakit di situ.
“Terbit satu bau pelik di sini dan pihak hospital mulanya menganggap ia bagi sejenis gas lantas menelefon kami untuk bantuan, ” kata seorang jurucakap MFB kepada Bernama.
“Pada mulanya kami tidak tahu namanya durian, tetapi seorang jurukamera tv yang tiba di tempat kejadian kenal akan jenis buah itu dan memberitahu kami mengenai bau yang menusuk itu. Kami biasa menerima aduan orang yang tersilap terbau sesuatu dan percaya ia bau gas,” katanya.
Ketua Eksekutif Hospital Samantha Dodd enggan memberitahu sama ada pesakit itu seorang warga Malaysia atau Asia.
“Kami biasanya tidak mendedahkan maklumat seperti itu,” katanya.
Julai lepas, semua kakitangan di lantai sebuah ofis di pusat perniagaan daerah Sydney dikosongkan selepas terbau sejenis durian import yang sedang diuji para pegawai pertanian Malaysia mengenai kesegarannya, yang meresap masuk ke ruang pengudaraan, menyebabkan kakitangan di pejabat-pejabat berjiran, melarikan diri bimbang akan berlaku kebocoran gas.
Beberapa tahun lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane diarah dikosongkan apabila seorang penumpang yang tiba dari Malaysia ditemui memiliki durian dalam bagasinya. – BERNAMA

Related Post



Post a Comment