SEPANG – Pasangan panda gergasi dari China, Fengyi dan Fuwa, simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China, tiba di sini hari ini bagi memulakan kehidupan baharu di perantauan selama 10 tahun.
Pasangan panda gergasi itu tiba melalui Kompleks MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 7.53 pagi dengan pesawat khas MASKargo Airbus 330-200 (MH6462) dari Chengdu, China.
Ketibaan dua ekor haiwan itu disambut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel dan Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang.
Menjadi simbolik kepada sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara, pasangan panda itu dipinjamkan kerajaan China kepada Zoo Negara Malaysia bagi tempoh 10 tahun menerusi Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.
Melalui program perjanjian yang ditandatangani pada 2012 itu, Malaysia akan berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi panda gergasi, selain dapat membangun dan melatih kepakaran tempatan.
Pasangan panda yang diberi nama Fuwa (jantan) dan Fengyi ( betina) itu dibawa ke Zoo Negara hari ini dan bakal dikuarantinkan kira-kira sebulan di tempat khas yang siap dibina.
Penghantaran pasangan panda itu pada mulanya dijadual pada 16 April lepas, tetapi ditangguh, berikutan kerajaan China mahu menumpukan usahanya untuk mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. – BERNAMA
Post a Comment