Remaja Koma Dilanggar Bot Meninggal Dunia Pagi Tadi

Posted by Sosej Roll Blog





SEREMBAN – Remaja yang cedera parah akibat dilanggar bot di pantai Telok Kemang, Port Dickson pada 7 Sept lepas, meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini pagi tadi.



Menurut bapanya Ramlan Pardi, 50, anaknya Muhamad Hidayat, 23, meninggal dunia pada pukul 5.40 ketika menerima rawatan akibat paru-parunya gagal berfungsi.



“Akibat kejadian itu, anak saya patah rusuk kiri dan mengalami kecederaan dalaman pada paru-parunya hingga menyebabkan dia koma selama seminggu dan meninggal dunia pagi ini,” katanya kepada pemberita.



Beliau berkata jenazah anaknya akan dibawa ke rumahnya di Kuarters Perumahan Polis Desa Baiduri, Cheras untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana selepas solat zohor.



Dalam kejadian tengah hari itu, Muhamad Hidayat yang sedang mandi di pantai dilanggar bot yang menarik ‘bot pisang’.



Semalam pemandu bot pisang itu Mohd Amirol Yasli, 21, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengendalikan bot dengan cuai sehingga menyebabkan kecederaan pengunjung pantai.



Dia dikenakan jaminan sebanyak RM2,500 sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan kes disebut semula pada 16 Okt.



Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Zulkifli Adamsah berkata siasatan terhadap pemandu bot terbabit akan diklasifikasi semula berikutan kematian mangsa. – BERNAMA

Related Post



Post a Comment