Makin hangat dan menimbulkan pelbagai kontroversi! Begitulah bayangan mengenai majlis sidang media khas yang dianjurkan oleh waris Allahyarham AR Tompel di Perbadanan dan Kemajuan Nasional Filem Malaysia (Finas), semalam.
Tambah hangat, bekas isteri Allahyarham iaitu pelakon veteran Ruminah Sidek, 68, mengaku bekas suaminya merupakan seorang lelaki yang sering menjadi perhatian dan digilai ramai wanita. Maksudnya, bukan Allahyarham yang sengaja mengejar wanita… tetapi ramai wanita yang tergila-gilakannya.
Malah beliau turut menyangkal watak ‘miang’ Alllahyarham yang dipaparkan dalam telefilem Saloma siaran Astro First Eksklusif adalah gambaran identiti bekas suaminya itu.
“Rasa sedih pula bila tonton telefilem Saloma, watak Tompel sedikit pun tidak sama seperti yang dipaparkan.
“Dia bukanlah seorang yang nakal tetapi diakui ramai wanita sukakan dia walaupun dia tidaklah sekacak mana pun,” ujarnya dipetik sebagai berkata.
Dakwa Ruminah lagi, terdapat beberapa babak menunjukkan Tompel begitu agresif dalam percubaan untuk memikat Saloma dan seorang wanita lain namun hakikatnya, seniman itu bukanlah seorang yang berani bertindak segera dalam memikat wanita.
“Macam saya dahulu, dia tak pernah tunjuk yang dia ada hati pada saya walaupun ketika itu dia sukakan saya.
“Beberapa tahun kami bekerjasama dan menyimpan perasaan sehinggalah bapa saya sedar apabila melihat kami seperti suka antara satu sama lain. Bayangkan, saya panggil dia pakcik.
“Kemudian, sepanjang perkahwinan kami, dia hanya memarahi saya dua kali saja. Pelik pula bila watak Tompel dalam telefilem itu menunjukkan dia seorang yang sombong, cemburu dan pemarah,” jelasnya.
Dalam sidang media tersebut, dianggarkan 30 orang waris Allahyarham AR Tompel hadir. Antaranya ialah AR Badul, Amran Tompel, Adlin Aman Ramlie serta bekas isteri Tompel, Zaiton Ismail termasuk wakil peguam mereka, Azam & Co.
Difahamkan, waris tersebut telah menghantar notis bersama tiga tuntutan kepada Astro iaitu meminta pihak penyiar itu menghentikan serta merta siaran telefilem itu, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga AR Tompel dan mengadakan pertemuan bagi proses rundingan bersama pihak penerbitnya, Kus Semangat Aktor.
Menurut mereka, rasa tidak puas hati mula timbul apabila watak Allahyarham AR Tompel telah digambarkan sebagai seorang yang kejam.
“Ada 29 babak yang kami (waris) rasakan tidak benar dan fitnah terhadap arwah. Ada babak arwah yang sengaja diada-adakan, direka serta ditokok tambah. Kami benar-benar tersinggung dan sedih dengan hal ini,” ujar Adlin.
Malah sebelum ini, mereka telah melahirkan rasa tidak puas hati berkenaan penayangan telemovie arahan Melissa Saila itu yang dikatakan memaparkan watak arwah dengan jelas secara prejudis, berat sebelah selain berunsur tohmahan dan fitnah yang telah menjejaskan semua nilai-nilai murni masyarakat terhadap arwah.
Telefilem Saloma dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Mencuri Guruh dan Pandang Kaseh disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif bermula 28 Ogos lalu.
Ia menampilkan pelakon Nabila Huda sebagai Saloma, Tony Eusoff (Tan Sri P. Ramlee), Azhan Rani (A.R. Tompel), Sazzy Falak (Mariani) dan Sharifah Amani (Siput Sarawak).
Tulisan artikel milik penuh blog myartis dan gambar milik penuh portal ohbulan.
Post a Comment