Bekalan untuk mangsa banjir diagihkan

Posted by Sosej Roll Blog


Bantuan untuk mangsa banjir diagihkan sebagai persediaan awal. -Gambar hiasan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) mula mengagihkan bekalan makanan dan barangan keperluan ke semua 116 buah pangkalan hadapan untuk keperluan mangsa banjir pada musim tengkujuh dijangka hujung tahun ini.

Barangan dan bekalan makanan, termasuk kain pelikat, kain batik, selimut, tuala, beras, biskut, bihun dan sardin ditempatkan di 34 pangkalan hadapan di Hulu Terengganu, Besut (20), Setiu dan Kemaman masing-masing (16), Marang (14), Dungun (12) dan Kuala Terengganu pula di empat pangkalan hadapan.

Pengerusinya yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, berkata agihan bermula awal bulan ini membabitkan stok untuk tiga hari dan akan menambahnya berdasarkan keperluan semasa.

“ JKM akan membekalkan makanan yang siap dimasak kepada mangsa banjir pada hari pertama mereka di pusat pemindahan sebelum mereka menerima bekalan makanan kering,” katanya kepada teganukita.

Katanya, semua agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pejabat-pejabat daerah juga bersiap sedia menjalankan tanggungjawab mereka jika banjir berlaku.

“Bilik gerakan banjir akan dibuka segera sebaik saja terdapat mangsa banjir berpindah, bagi memudahkan urusan penghantaran bekalan dan bantuan di kawasan terlibat.

“Saya menasihatkan penduduk yang terlibat dengan banjir supaya berpindah segera jika diminta pihak berkuasa dan tidak menunggu hingga ke saat akhir untuk berbuat demikian,” katanya.-TEGANUKITA

Related Post



Post a Comment