Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) meminta Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa yang mengharamkan penggunaan daun dan air ketum di negara ini.
Yang Dipertuanya, Dato’ Mohd Johari Baharum berkata ini kerana penggunaan air dan daun ketum akan memudaratkan kesihatan mereka yang mengambilnya secara berlebihan dan berterusan.
Beliau dalam laporan Bernama berkata, pihaknya bimbang kerana penyalahgunaan ketum kini menular dalam kalangan pelajar sekolah, yang menjadikan air ketum sebagai minuman harian, malah turut dibawa ke sekolah.
“Penyalahgunaan ketum amat serius. Dahulu, di utara Semananjung sahaja tetapi kini ia telah merebak ke Terengganu, Perak dan Pahang.
“Saya terima aduan ada nelayan di Pahang minum air ketum sebelum ke laut,” katanya semalam.
Mohd Johari berkata Pemadam juga berharap Jabatan Peguam Negara menyegerakan proses mewartakan penyalahgunaan ketum dalam Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana ketum mengancam keselamatan di negara ini.
“Saya merayu kepada kerajaan agar percepatkan rang undang-undang berkaitan ketum ini agar tindakan boleh diambil terhadap pengusaha tanaman ketum yang merosakkan rakyat,” katanya.-TEGANUKITA
Post a Comment