
Kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa penilaian Bajet Negeri 2015 yang akan mengkaji keperluan rakyat.
Kerajaan negeri Terengganu telah mewujudkan sebuah blog khas selama seminggu bagi mengumpul idea, cadangan dan input daripada rakyat sebelum memuktamadkan Bajet Negeri 2015.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, blog khas itu dibuka semalam bagi membolehkan rakyat mengemukakan cadangan mengenai keperluan mereka untuk tahun depan.
Serentak itu, katanya, kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa penilaian Bajet Negeri 2015 yang akan mengkaji keperluan rakyat yang boleh dilaksanakan berdasarkan input yang diterima.
“Ia akan dipengerusikan oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Osman Muda dibantu Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Transformasi Rakyat Terengganu (Putra) Dr Wan Shaari Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Iman (Idaman) Pofesor Dr Ibrahim Mamat.
Tumpuan kerajaan negeri ketika ini ialah mahu menjadikan Bajet Negeri 2015 sebagai bajet mesra rakyat dan memenuhi hasrat rakyat, katanya selepas merasmikan majlis ‘Jasamu Dikenang’ di sini hari ini.
Bajet Negeri 2015 dijangka dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu bulan depan.
Ahmad Razif berkata kerajaan negeri dijangka mendapat peruntukan sebanyak RM900 juta daripada kerajaan pusat pada tahun depan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
Bagi memastikan jumlah peruntukan itu dimanfaatkan sebaik mungkin, lima kluster dalam cadangan bajet negeri dapat memenuhi hasrat rakyat.
Lima kluster tersebut merangkumi pelbagai aspek seperti pendidikan, ekonomi, pembangunan belia, sosial serta pembangunan politik. – Bernama
Post a Comment