Ibu sayu terima ijazah anak mangsa MH17

Posted by Sosej Roll Blog


IBU dan kakak kepada pramugari, Azrina Yakob, mangsa yang maut dalam tragedi nahas pesawat MH17, Habibah Ismail, 65 (kanan) dan Azlin Yakob (kiri) melihat sijil Ijazah Saujana Muda Komunikasi Massa (Kepujian Perhubungan Awam) pada Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM yang ke-81 di Dewan Agong Tuanku Canselor.

SHAH ALAM: Seorang ibu sebak apabila menerima ijazah anaknya, ketua pramugari Azrina Yaakob, mangsa nahas penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17, pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Habibah Ismail, 65, yang ditemani tiga anaknya yang lain, datang dari Alor Setar, Kedah untuk menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) yang disampaikan Pro Canselor, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad.

Ibu itu berkata, ketika beratur bersama-sama penerima ijazah lain, perasaan sedih tidak mampu dibendung lagi apabila pengacara majlis mengumumkan nama anak kedua daripada empat beradik itu sebagai penerima ijazah seterusnya.

“Ketika di atas pentas tadi, makcik bertambah sebak terutama ketika pengacara majlis menceritakan mengenai tragedi MH17 sebelum meminta semua yang berada dalam dewan menghadiahkan al-Fatihah buat mangsa tragedi itu,” katanya ketika ditemui pemberita. – Azrina, 41, menyambung pelajaran secara Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM ketika bekerja dengan MAS dan berjaya menamatkan pengajiannya sebelum tragedi menyayat hati itu berlaku.

Habibah bangga dengan kejayaan anaknya itu, namun terkilan kerana Azrina tidak sempat menggenggam ijazahnya itu.

Pesawat MAS Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lepas.

Pesawat Boeing 777-200ER itu membawa 43 rakyat Malaysia.

- BERNAMA

Related Post



Post a Comment