Banjir: 125 pusat permindahan dibuka di Terengganu

Posted by Sosej Roll Blog


Banjir di sekitar Hulu Terengganu.

Daerah Hulu Terengganu membuka paling banyak pusat pemindahan mangsa banjir di Terengganu berikutan kawasan pedalaman daerah itu mengalami hujan lebat hampir 24 jam.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negera (MKN) negeri Terengganu, setakat jam12 tengah hari ini, 37 pusat pemindahan di daerah Hulu Terengganu telah dibuka bagi menempatkan 3,066 mangsa daripada 949 keluarga ketika ini.

Dalam masa yang sama, 25 pusat pemindahan mangsa banjir dibuka di daerah Besut yang kini menempatkan 2,232 mangsa (582 keluarga).

Ini diikuti daerah Setiu, sebanyak 22 pusat penempatan mangsa banjir telah dibuka yang menempatkan 1,904 mangsa (500 mangsa).

Sementara itu di Kemaman pula sebanyak 21 pusat dibuka bagi menempatkan 946 mangsa (266 keluarga) manakala Dungun 20 pusat dengan jumlah mangsa 950 orang (266 keluarga).

Jumlah yang terlibat dalam bencana alam di Terengganu setakat ini sebanyak 9,098 manakala keseluruhan pusat pemindahan yang dibuka sebanyak 124 buah.


Jerteh pagi ini (19/12/2014)


Depan Imtiaz Kuala Berang.

Sementara itu di Hulu Terengganu banjir yang melanda di sekitar Kampung Kemat di sini disifatkan penduduknya sebagai bencana banjir yang paling buruk dalam tempoh 62 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd Sahari Musa berkata, 137 mangsa daripada 49 keluarga terjejas akibat limpahan air Sungai Kemat di kampung itu.

“Banjir tahun ini memang paling buruk dalam tempoh 62 tahun sebab biasanya paling ramai pun hanya 12 keluarga dan 38 mangsa yang terjejas tapi kali ini bilangan mangsa meningkat mendadak dan terpaksa dipindahkan.

“Hujan lebat sejak Selasa dan petang semalam menyebabkan sungai mula melimpah dan kita mula memindahkan orang kampung yang terlibat dan pusat pemindahan terpaksa dibuka sejak 5 petang semalam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena tinjauan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari petang ini.

Mangsa Ramlah Ahmad, 53, berkata, dia bersama dua anaknya terpaksa mengharungi air paras dada untuk berpindah apabila air mula memasuki rumahnya.

“Air masuk dalam rumah hingga paras paha, bila kakak keluar dari rumah ianya lebih dalam dan redah hingga paras dada.

“Selama 35 tahun kakak tinggal di sini, ini kali pertama kakak menghadapi banjir macam ini sebab rumah kakak terletak atas bukit dan memang tinggi dari kawasan rumah lain,” katanya. – Bernama

Related Post



Post a Comment