
PEMAIN Harimau Malaya melangkah longlai meninggalkan padang selepas dikalahkan 1-2 oleh Vietnam dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM – Hajat di hati mahu ‘meratah’ Vietnam di Stadium Shah Alam, namun sebaliknya Harimau Malaya yang tumbang 1-2 pada separuh akhir pertama Piala AFF di hadapan kira-kira 65,000 penonton, semalam.
Malaysia turun dengan misi mahu menang sekurang-kurangnya 2-0 atau 3-0 untuk membawa bekalan selesa apabila bertandang ke Hanoi pada separuh akhir kedua, Khamis ini.
Malangnya, anak-anak buah Dollah Salleh bukan saja gagal memenuhi misi tersebut, malah malam mereka bertukar mimpi ngeri apabila kalah, sekali gus memilih laluan berduri untuk mencari tiket ke final.
Biarpun kapten, Safiq Rahim, menyalakan harapan pada minit ke-14 dengan meletakkan skuad negara di depan, ia hanya menjadi kegembiraan sementara apabila Vo Huy Tuan dan Nguyen Van Quyet memalukan Harimau Malaya dengan dua gol pada minit ke-31 dan 60.
Jaringan itu membolehkan Vietnam pulang ke Hanoi dengan penuh kegembiraan kerana dendam kekalahan separuh akhir 2010 akhirnya berbalas.
Malaysia kini perlu mencari kemenangan 2-0, 3-2 atau 4-3 dalam separuh akhir kedua bagi memadamkan kelebihan dua jaringan lawan.
Sudahlah kalah, perlawanan turut dicemari drama pergaduhan penyokong negara dengan Vietnam, namun mujur pihak keselamatan pantas membendung insiden itu menjadi lebih buruk.
Rentak pantas Vietnam, yang mendapat sentuhan jurulatih dari Jepun jelas sukar disaingi.

Safiq menjaringkan gol tunggal Harimau Malaya menerusi sepakan penalti pada minit ke-13 namun jaringannya itu gagal membantu skuad negara mengatasi Vietnam apabila tewas 1-2.
Percaturan Dollah Salleh meletakkan Hafiz Kamal di bahagian tengah bersama Safiq Rahim juga tidak menjadi, sementara gandingan Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas di benteng gagal menangani asakan Vietnam.
Bayang Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha seperti tidak kelihatan di atas padang dengan segala hantaran yang ditujukan kepada dua penyerang ini mudah dipatahkan Le Phuoc Tu dan Dinh Tien Thanh.
Satu-satunya jaringan yang dihasilkan Malaysia juga adalah atas ‘ihsan’ pengadil dari China, Ma Ning seleas dia mengesan bola terkena tangan Nguyen Huy Hung dan menghadiahkan sepakan penalti untuk disempurnakan Safiq. – Utusan
Post a Comment