Penemuan objek didakwa milik MH370 belum disahkan - DCA

Posted by Sosej Roll Blog

Penemuan objek didakwa milik MH370 belum disahkan - DCA
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman memaklumkan laporan berkenaan penemuan beberapa objek yang didakwa milik pesawat MH370, belum disahkan secara rasmi.

Beliau menjelaskan bahawa operasi mencari dan menyelamat memerlukan bukti yang kukuh sebelum membuat rumusan mengenai apa yang berlaku ke atas pesawat tersebut.

"Ada pelbagai laporan terlihat objek termasuk dakwaan terlihat objeck berupa bahagian dalam pintu pesawat. Bagaimanapun laporan itu tidak disahkan oleh pihak berkuasa Vietnam.

"Kami telah menghubungi pihak berkuasa Vietnam semalam, dan mereka telah sahkan tidak mengesan apa-apa objek sedemikian. Oleh itu kami tidak dapat memaklumkan bahawa objeck tersebut telah dikesan," jelas Azharuddin.

Beliau juga memaklumkan, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut mengesan tumpahan minyak di Laut China Selatan.

Katanya APMM telah pun menghantar sampel tumpahan itu ke makmal untuk dianalisis, dan keputusan analisis itu akan diberitahu kelak.

Sementara itu, pihak DCA juga tidak akan mendedahkan apa-apa maklumat mengenai dua individu yang menaiki pesawat MH370 menggunakan pasport curi kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan.

"Saya tidak akan mendedahkan terlalu banyak maklumat berkenaan dua penumpang itu kerana mereka di bawah siasatan, dan apa-apa maklumat yang saya berikan boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan," tegasnya.

Penerbangan MH370 itu disahkan DCA sebagai hilang daripada radar pada 1.30 pagi Sabtu, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sebelum itu, MAS dilapor berkata pesawat itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berkenaan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu.

Operasi mencari dan menyelamat pesawat itu telah masuk hari ketiga, namun ia masih gagal dikesan.

Related Post



Post a Comment