MISI mencari dan merungkai misteri yang menyelubungi pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) MH370 kini masuk hari ke-10 dan kini operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah memasuki fasa baru.
Pencarian kini dilakukan di dua koridor iaitu Koridor Utara dan Koridor Selatan selepas lokasi terakhir pesawat MH370 dilihat jauh daripada lokasi asal iaitu di Laut China Selatan.
Pelbagai teori diberikan berkaitan kehilangan pesawat itu dan ada juga yang mengatakan bahawa ia telah pun mendarat tetapi persoalannya, di mana?
Difahamkan pesawat MH370 dari jenis Boeing 777-200ER memerlukan landasan sekurang-kurangnya sepanjang 1.5km untuk berjaya mendarat dengan sempurna sebelum kemungkinan disorokkan.
Pasukan berita dari stesen radio Amerika Syarikat WNYC yang membuat penyelidikan menemui kira-kira 634 landasan di seluruh dunia dalam jangkauan pesawat MH370 yang menepati kriteria itu dari Australia, Maldives hingga ke Mongolia.
Landasan itu berada di 26 buah negara berbeza termasuk beberapa lapangan terbang yang terpencil seperti Lapangan Terbang Gan (Maldives), Lapangan Terbang Dalanzagdad (Mongolia), Lapangan Terbang Yap (Micronesia) dan Lapangan Terbang Miyazaki (Jepun).
Data itu diperolehi dari laman web simulator penerbangan yang menyediakan koordinat lokasi kesemua landasan terbang di seluruh dunia.
Laporan MNYC itu bagaimanapun mengatakan jika pesawat MH370 mendarat di sebuah lokasi yang bukan lapangan terbang, 634 landasan berkenaan terkeluar dari segala kemungkinan.
Stesen radio itu turut memetik seorang bekas juruterbang Boeing 777-200 Roch Solan yang memaklumkan pesawat itu juga mampu didaratkan di atas sebuah lebuh raya.
“Jika terdapat kebakaran dalam pesawat, saya sentiasa bersedia untuk mendaratkan ia di mana-mana pun… Ia turut boleh didaratkan di atas lebuh raya,” katanya.
Solan berkata, landasan yang diperlukan juga tidak semestinya yang dilitupi tar tetapi landasan tanah merah juga sudah mencukupi.
Penulis sertakan sekali data dari laman web X-Plane berkenaan kesemua 634 landasan itu yang diwakili dengan titik berwarna merah. – MYNEWSHUB.MY
Oleh : IBNU KHUSAIRY ARIS
Post a Comment