MB Sokong PBSNT Jika Mahu Boikot Piala Malaysia

Posted by Sosej Roll Blog


Ahmad Razif melambai tangan kepada orang ramai sebelum beliau melakukan gimik perasmian Majlis Transformarsi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Di Dewan Sivik Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri menyokong penuh keputusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk memboikot perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Johor Baharu pada 17 Oktober ini sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkeras untuk tidak mengubah kepada tarikh asal.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata beliau sudah memberi mandat penuh kepada PBSNT untuk membuat keputusan mengenai isu tersebut.

“Walaubagaimanapun, sekiranya PBSNT akur dengan tarikh baharu yang ditetapkan oleh FAM (17 Oktober), kerajaan negeri akan menyediakan 2,000 keping tiket percuma dan 50 buah bas kepada penyokong pasukan Terengganu sebagai komitmen kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Transformasi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Peringkat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di Seberang Takir, hari ini.

Ahmad Razif berkata beliau turut berasa kecewa dengan keputusan FAM yang menundakan tarikh asal hanya kerana seorang pemain JDT tidak dapat beraksi Jumaat ini.

“Janganlah kerana seorang pemain JDT tidak dapat beraksi, maka tarikh asal perlawanan dipinda kerana mengikut permintaan JDT. FAM kena mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya lagi.

Sebelum itu, Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dipetik dalam satu laporan berkata persatuan itu bersedia untuk mengambil keputusan drastik memboikot perlawanan suku akhir di antara Terengganu dan JDT sekiranya perlawanan diteruskan pada 17 Oktober.

“FAM kena berubah…sampai bila mereka hendak bersikap begini dan ini bukan satu perkara yang bagus untuk bola sepak kita pada masa akan datang jika situasi begini berterusan.

“Biarlah peminat Terengganu marahkan saya sekalipun kerana bertindak sedemikian kerana saya mahu menghukum dan memberikan satu pengajaran berguna kepada FAM memandangkan ini bukan kali pertama kami dianiayai sebegini,” katanya.-TEGANUKITA

Related Post



Post a Comment