Mamat Khalid Jawab Isu Masam Muka Dengan Usop Wilcha

Posted by Sosej Roll Blog





KUALA LUMPUR – Pengarah filem Mamat Khalid terkejut apabila dikatakan bermasam muka dengan pelakon Shy8 atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha.



Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid berkata, jika benar pelakon itu berasa hati, dia seharusnya memaklumkan perkara berkenaan dengan cara bertentang mata daripada bercerita kepada pihak ketiga iaitu media.



“Saya terkejut apabila ramai yang menghubungi saya untuk meminta penjelasan tentang perkara itu kerana saya tidak ada masalah langsung dengan dia. Baru beberapa hari lepas saya berjumpa dengan dia untuk menyelesaikan proses suntingan filem.



“Pada saya, jika dia ada rasa tidak puas hati seharusnya dia berjumpa dan beritahu sendiri kepada saya berbanding menggunakan media,” ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem televisyen Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya, di The Garden, di sini, Rabu.








Mamat berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gosip di ruangan pojok akhbar mingguan Ahad lalu mengenai hubungannya dengan pelakon Usop Wilcha yang dikatakan bermasalah.



Mamat sebagai pengarah filem dikatakan tidak memberi kerjasama dan sering kali mengubah skrip ketika penggambaran filem Usop Wilcha Menggonjang Makhluk Muzium (UWMMM) yang diterbitkan sendiri oleh Usop Wilcha.



Dalam pada itu, Mamat berkata, dia tidak mengetahui niat sebenar pelakon itu menceritakan hal dalaman produksi kepada media.



“Kalau ada keluh kesah daripada pihak dia kenapa tidak beritahu sendiri. Sepatutnya saya orang pertama yang tahu perkara ini dan bukan orang terakhir,



“Tentang mengubah skrip itu adalah perkara biasa pada setiap penggambaran, jika saya rasa skrip yang dibuat itu tidak sesuai saya akan minta dia ubah menjadi lebih baik,” katanya.



Bagaimanapun, Mamat berkata, dia enggan memanjangkan hal tersebut dan menghalalkan apa juga dakwaan pelakon tersebut terhadap dirinya. – mStar Online

Related Post



Post a Comment