
Ahmad Razif Abdul Rahman
Institut Al-Quran Terengganu (IQT), di sini bakal memperkenalkan program Yusuf al-Qaradawi, sebagai satu lagi landasan bagi melahirkan lebih ramai tokoh dan ilmuwan bidang agama dalam kalangan anak negeri, bermula tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, melalui program yang mengambil sempena nama ulama terkemuka itu, seramai 50 pelajar tingkatan empat akan menjadi kumpulan perintis pengajian yang menggabungkan bidang sains dan juga agama itu. “Program Yusuf al-Qaradawi ini gabungan antara sains dan agama. Pelajar yang terpilih mulai tahun depan akan turut menguasai pengajian agama selain subjek-subjek sains merangkumi fizik, kimia dan biologi.
“Mereka inilah akan kita hantar untuk menyambung pelajar ke Mesir dengan harapan, selepas pulang ke Malaysia nanti, mereka akan berkembang menjadi tokoh agama yang turut memiliki ilmu pengetahuan dalam pelbagai lapangan lain,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program majlis Jasamu Dikenang anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), di Hotel Primula, di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib dan Pengarah JPNT, Zakaria Hussin. Ahmad Razif berkata, bagi merealisasikan usaha itu, IQT akan dinaik taraf sebagai kolej universiti sebagaimana langkah mewujudkan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.
Sehubungan itu juga katanya, Terengganu akan mewujudkan semula KUSZA yang mempunyai rantainya perhubungan luas di peringkat antarabangsa suatu ketika dulu dan mengembalikan kegemilangannya menerusi program itu di IQT. -Utusan
Post a Comment