SYDNEY – Polis Australia semalam menyatakan, pihaknya menangkap ibu kepada tujuh daripada lapan kanak-kanak yang mati ditikam di bandar Cairns, utara Australia, selepas beberapa upacara berkabung diadakan bagi memperingati tragedi itu.
Pihak berkuasa belum mengesahkan punca kematian mereka dengan mangsa paling muda merupakan anak kecil dan yang paling tua berusia remaja. Polis bagaimanapun berkata, beberapa bilah pisau ditemui di rumah di mana mayat mangsa dijumpai pagi kelmarin.
“Seorang wanita berusia 37 tahun yang juga ibu kepada beberapa kanak-kanak tersebut ditangkap kerana membunuh dan kini ditahan di bawah pengawasan polis di Hospital Cairns Base,” kata pegawai polis, Inspektor Bruno Asnicar.
Polis mengesahkan, mereka yang terbunuh sebagai empat kanak-kanak perempuan masing-masing berumur dua, 11, 12 dan 14 tahun serta empat lelaki berusia lima, enam, lapan dan sembilan tahun.
Namun, menurut polis, pihaknya tidak mendedahkan nama keluarga berkenaan kerana faktor sensitiviti budaya.
Budaya sebahagian masyarakat pribumi Australia melarang menyebut nama orang yang telah mati.
Wanita yang ditangkap ialah ibu tujuh kanak-kanak tersebut dan ibu saudara kepada remaja perempuan berusia 14 tahun itu, kata polis. Dia tidak didakwa tetapi Polis Queensland mengesahkan dia ditangkap bagi membantu siasatan.
Pembunuhan ngeri di Cairns menggemparkan rakyat Australia yang masih bersedih dengan drama tebusan di sebuah kafe di sini pada minggu ini yang menyebabkan dua tebusan dan penyerang terbunuh.
Dalam perkembangan berkaitan, semua mangsa yang mati ditemui oleh anak lelaki wanita itu yang berusia 20 tahun setibanya dia di rumah mereka di kejiranan Manoora, pinggir bandar Cairns pagi kelmarin. – AFP
Post a Comment