Selangor sumbang 42.7% keluaran pertanian negara

Posted by Sosej Roll Blog






KUALA LUMPUR: Selangor berjaya menjadi negeri penyumbang tertinggi bagi hasil pertanian negara apabila mengeluarkan 42.7 peratus atau RM32 juta daripada jumlah keseluruhan keluaran pertanian negara.
Negeri itu turut menerajui pengeluaran padi negara apabila merekodkan hasil purata pengeluaran padi 6.4 juta tan setahun dengan keluasan kawasan penanaman padi seluas 19,857.47 hektar berbanding pengeluaran hasil padi negara 4.4 tan setahun.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata kejayaan itu dicapai hasil usaha gigih petani disamping penggunaan teknologi moden dengan bimbingan jabatan berkaitan, lapor Selangor Kini.

Katanya, biarpun Selangor mempunyai bidang tanah terhad dalam sektor pertanian tetapi membuktikan hasil dan pencapaian tinggi masih boleh diperolehi dengan memaksimumkan setiap ruang yang ada dengan penggunaan segala teknologi dan inovasi terkini.

“Kita perlu mencontohi Belanda, sebuah negara yang lebih kecil dari Pahang tetapi mampu menjadi negara kedua terbesar di dunia dalam sektor pertanian," katanya ketika merasmikan Pesta Agrofest Selangor 2014 di Stadium Sungai Besar, semalam. Hadir sama Exco Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Justeru, ujarnya tidak mustahil Selangor akan menjadi peneraju sektor ini di rantau Asia sekiranya usaha ke arah itu digembleng bersungguh-sungguh dari semua pihak yang terlibat.

Beliau berkata, bagi 2015 kerajaan negeri memperuntukkan RM14.47 juta untuk pembangunan sektor pertanian manakala RM15.3 juta khusus bagi pembangunan nelayan dan petani.

“Kerajaan negeri mengambil berat pembangunan sektor pertanian negeri dan kita berharap dengan dokongan seperti itu KDNK pertanian negeri yang setakat ini berada sekitar 2 peratus dapat ditingkatkan kepada 2.5 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.-Harakah Daily

Related Post



Post a Comment