MH370: Kenyataan Penuh Datuk Seri Hishammuddin Untuk Hari Ke-12

Posted by Sosej Roll Blog


KUALA LUMPUR – Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat
media mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370
di Sepang, Selangor hari ini:
Kenyataan pengenalan
Pencarian MH370 diteruskan. Seperti yang saya nyatakan dalam sidang akhbar
semalam, usaha kini membabitkan masyarakat antarabangsa.
Fokus utama kami kekal operasi mencari dan menyelamat. Kami kini berusaha
mengecilkan koridor carian melalui:
- pengumpulan maklumat satelit
- menganalisis data radar
- menambah aset udara, laut serta darat, dan
- menambah bilangan pakar teknikal.
Kami turut mengambil langkah untuk menangani keperluan keluarga pada masa
yang sukar ini.
Perkembangan terkini operasi
Saya akan mulakan dengan memberi taklimat berhubung perkembangan terkini
operasi.
Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, pencarian MH370 membabitkan cabaran
dari segi diplomatik, teknikal dan logistik.
Sehubungan itu, pasukan teknikal utama yang mengendali operasi mencari dan
menyelamat dipecah kepada tiga kumpulan:
- satu pasukan diplomatik diketuai Kementerian Luar
- satu pasukan penempatan aset dan logistik diketuai Angkatan Tentera
Malaysia
- satu kumpulan teknikal yang mengekalkan kawalan keseluruhan operasi
diketuai Jabatan Penerbangan Awam.
Di barisan depan diplomatik, kesemua 26 negara yang terbabit dalam operasi
mencari dan menyelamat telahpun secara lisan bersetuju membantu operasi ini dan
Malaysia secara rasmi sudah memohon kerjasama dari semua negara yang berkaitan.
Sejumlah aset kini hanya menunggu kebenaran diplomatik bagi memulakan
operasi.
Sebaik menerima kebenaran rasmi, kami boleh mempercepat penempatan aset di
sepanjang koridor carian.
Seperti yang saya nyatakan semalam, meskipun pencarian masih diselaras oleh
Malaysia, rakan kita kini mengambil alih operasi di wilayah mereka dan di sektor
yang dipersetujui. Kami mengalu-alukan langkah ini dan sekali lagi, kami ingin
mengucapkan terima kasih kepada semua rakan kita atas bantuan serta sokongan
mereka yang berterusan.
Saya boleh mengesahkan bahawa kami menerima beberapa data radar namun tidak
boleh mendedahkan maklumat yang diperoleh dari negara lain.
Saya merayu kepada semua rakan kita untuk terus secara sukarela memberi
sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan dan pencarian MH370.
Mengenai laporan bahawa pesawat itu dilihat di Maldives, saya boleh
mengesahkan bahawa panglima angkatan tentera telahpun menghubungi rakan
sejawatan beliau di Maldives, yang kemudian mengesahkan bahawa laporan itu
adalah tidak benar.
Saya sedar tentang spekulasi yang menyatakan bahawa titik laluan
ditambah kepada laluan penerbangan pesawat itu. Saya boleh mengesahkan bahawa
pesawat itu terbang di laluan normal sehingga ke titik laluan IGARI.
Tiada titik laluan tambahan didokumen di pelan penerbangan MH370 dan ini
menggambarkan laluan normal sepanjang perjalanan pesawat itu ke Beijing.
Siasatan Polis
Berhubung siasatan polis, sepertimana yang disahkan oleh ketua polis negara,
kes ini diklasifikasi di bawah Seksyen 130C Kanun Keseksaan. Semua penumpang,
anak kapal dan kakitangan yang mengendali pesawat sedang disiasat.
Kami berkongsi semua maklumat berkaitan kes ini dengan semua agensi
penyiasatan antarabangsa yang memerlukannya.
Kami telahpun menerima laporan berkaitan latar belakang penumpang dari semua
negara kecuali Ukraine dan Rusia, yang kedua-dua rakyatnya turut berada dalam
pesawat itu. Setakat ini, tiada maklumat yang didapati signifikan berkaitan
mana-mana penumpang.
Kepakaran tempatan dan antarabangsa diambil untuk meneliti simulator
penerbangan juruterbang terbabit. Beberapa data didapati telahpun dipadam
daripada simulator itu dan kerja-kerja forensik untuk mendapatkannya kembali
sedang dilakukan.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa penumpang,
juruterbang dan anak kapal adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
Demi keluarga mereka, saya minta agar kita jangan membuat sebarang spekulasi
yang boleh menyulitkan lagi keadaan.
Pasukan Peringkat Tinggi
Saya ingin mengumumkan bahawa sebagai tambahan kepada pasukan sedia ada
di lapangan, Malaysia kini menghimpun satu pasukan peringkat tinggi yang akan
berlepas ke Beijing secepat mungkin.
Pasukan ini akan memberi taklimat dan perkembangan kepada waris berkaitan
situasi terkini dan pelan operasi mencari serta menyelamat.
Pasukan itu termasuk wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar,
Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Penerbangan Awam dan Malaysia Airlines.
Pasukan itu akan diketuai Leftenan Jeneral Dato’ Sri Ackbal Abdul
Samad (Komander Operasi Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia), dibantu oleh
Ahmad Nizar Zolfakar (Pengarah, Perkhidmatan Trafik Udara, Jabatan
Penerbangan Awam) serta membabitkan seorang juruterbang kanan pesawat 777.
Kenyataan Penutup
Kami akan berusaha bersungguh-sungguh. Fokus utama kami ialah operasi
mencari dan menyelamat. Kami kini melakukan segalanya bagi mengecilkan kedua-dua
koridor carian.

Related Post



Post a Comment